Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

05 July 2012

[CERPEN] Aku Anak Ngelaban!

Aku Anak Ngelaban! hasil karya Nur Fasihah bt Ramli


Gambar hiasan ihsan daripada Google
“Bilu! Anang guai! Bilu!”
Termengah-mengah Tura cuba menyusuli Bilu dari belakang.
Bajunya basah dek peluh. Kaki yang tidak berkasut comot dengan selut. Manakan tidak, jalan merah yang mereka lalui berlopak-lopak akibat hujan lebat yang turun tanpa henti selama tiga hari.
“Bilu! Laju kau jalan! Tunggu!”
“Tura! Pukul brapa diatu?
Cikgu tunggu!”
“Iya…iya. Kita jalai sama-sama.”


 Bilu. Anak Iban yang bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib kaumnya ke arah yang lebih baik. Dia sedar betapa masyarakat metropolitan memperkotak-katikkan kehadiran mereka. Apakan tidak? Hidup di pinggir pedalaman, terselindung daripada arus pembangunan moden. Namun, Bilu sedar. Dia harus menjadi perintis kepada keterbilangan keturunannya. Dia tekad. Dia akan buktikan, anak Iban tidak akan pernah hilang ditelan zaman. Ya. Orang Iban tidak akan pernah luput dek hujan, tidak akan pernah lekang dek panas. Ya. Aku akan buktikan! Wahai dunia, tunggu kehadiranku! Akan kugoncangkan pentas dunia dengan tanganku! Tura. Dia juga begitu. Betapa kembang hatinya menceritakan kehebatan moyangnya yang pernah suatu ketika menentang penjajah sehinggakan dapat memenggal kepala-kepala mereka lalu disimpan di dalam tajau. Tura sentiasa gah bercerita tentang perjuangan Ki Manang. Tidak pernah terdetik sedikit pun di hatinya perasaan malu menguar-uarkan keunggulan anak Iban. Dia tahu dia perlu berjuang. Sama seperti Ki Manang. Ki Manang berjuang demi keamanan tanah air tercinta. Tura? Tura harus berjuang demi maruah dan nama baik generasi Ibannya. Persepsi masyarakat kota soal kedunguan kaumnya harus ditepis. Tura berjanji. Tura berjanji suatu hari nanti, alam akan tunduk kagum kepadanya. Itu janji Tura!


 Riuh rendah suara kanak-kanak berkejaran. Ada yang bermain guli. Ada juga yang bermain seremban dengan batu-batu kerikil yang dikutip di tepi sungai. Namun, sayup-sayup kedengaran suara dari dalam sebuah bangunan kayu buruk. Hanya atap nipah sebagai pelindung dari sinar sang suria yang memancar terik. Hanya tikar mengkuang hasil kraftangan ibu-ibu yang menjadi alas untuk belajar. Ah, lupakan semua itu! Tura. Juga Bilu.
“15 darab 2 sama dengan 30. 16 darab 2? Siapa nak cuba?”
“Aku, cikgu!”
“Ya, Bilu. Tuliskan jawapannya pada papan hitam.” Bilu bingkas bangun. Terkedek-kedek berjalan menuju ke hadapan. Sungguhpun, kaki kirinya tempang, Bilu tidak pernah menganggap itu satu halangan untuk berjaya. Cikgu Mona juga. Dengan yakin, dia menuliskan jawapan dengan kapur yang hanya sebesar jari kelingking itu. Mulutnya bergerak bagaikan seirama dengan tangannya yang pantas melakarkan angka-angka matematik.
“16 darab 2 sama dengan 32…”
“Wah! Pandainya Bilu…” Kembang hidung Bilu dipuji sedemikian rupa oleh Cikgu Mona. Sungguh, dia sayang akan Cikgu Mona. Tura juga. Semua orang sayang akan Cikgu Mona. Masih segar di kotak mindanya saat Cikgu Mona pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Walaupun memakan masa berjam-jam dan terpaksa meredah hutan dan menaiki bot, Cikgu Mona sabar orangnya. Sifat sabar itulah yang menjadi pegangan Bilu dalam mengejar impiannya. Masih terasa hangat sentuhan Cikgu Mona, mengusap-usap pipi montelnya ketika pertama kali mereka bertemu.
 “Comelnya kamu…” Dia tersengih menampakkan barisan gigi yang sudah rongak di depan. Kata baba, sudah seperti kubu yang runtuh diserang musuh.


“Bilu! Kenapa rumah kau banyak orang?”
“Err…mama. Kenapa, ma?”
“Bilu! Babamu, Bilu!”
“Kenapa, ma??? Kasitau Bilu!”
“Baba…pukat ikan di sungai. Dibaham sang jenjulung…”
“Baba! Baba! Baba…” Seminggu Bilu berkurung di bilik. Enggan makan. Enggan ke sekolah. Hidupnya bagaikan hilang arah tuju setelah kehilangan baba. Sedangkan, kekuatan dirinya selama ini hanyalah baba. Dia berjuang di medan ilmu hanya untuk membanggakan baba. Hanya untuk baba! Tetapi, kenapa Tuhan harus mengambil baba? Kenapa? Bilu masih belum mampu membahagiakan baba. Belum! Tuhan, andainya kau berikan aku kesempatan…
“Bilu! Ayuh keluar, nak…Cikgu Mona mahu bertemu.”
“Aku tak mahu, ma…”
“Bilu…” Cikgu Mona memasuki ruang kamarnya yang sempit bagaikan reban ayam. Namun, di reban ayam itulah tempat dia membesar selama ini. Di reban ayam itulah, baba sering memberikan dorongan kepada dirinya untuk membawa keluarga keluar dari kepompong kegelapan. Dan, di reban ayam itulah kenangan bersama-sama baba akan terus bersemadi hingga ke hembusan nafas terakhir Bilu. 
“Bilu…kamu perlu tabah. Kuatkan semangat. Cuba kamu fikir. Baba mahu kamu berjaya. Kalau baba lihat kamu bersedih, baba juga akan bersedih. Ayuh, bangkit! Cikgu di sini. Cikgu akan terus membimbing kamu dan sentiasa di belakang kamu. Mama, Tura, juga rakan-rakan yang lain. Ayuh, Bilu! Dunia menantimu di luar sana!”


 Peperiksaan UPSR semakin hampir. Meskipun serba kekurangan, Bilu enggan beralasan. Tiada yang mampu menjadi penghalang lagi untuk aku berjaya. Walaupun Bilu terpaksa bersengkang mata mengulang kaji pelajaran, biarkan! Walaupun cuma pelita ayam menjadi peneman setia, pedulikan! Walaupun tiada lagi senyuman baba sebagai pembakar semangat, endahkan! Semua ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kejayaan yang bakal tiba. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Bilu rela bersakit-sakit asalkan kesenangan muncul di penghujung hari. Apatah lagi mama, Cikgu Mona dan Tura sentiasa meniupkan bicara bara untuk dia nyalakan hasilnya nanti. Cikgu Mona – insan mulia yang Bilu anggap sudah seperti malaikat utusan Tuhan untuk dirinya. Tanpa Cikgu Mona, dia tidak akan seteguh ini. Sekental ini. Tanpa Cikgu Mona, mana mungkin dia bisa berdiri di sini. Di sini. Di batu loncatan untuk masa hadapan yang lebih menyinar. Hanya tinggal satu loncatan lagi. Hanya satu!


 Bagasi hitam beroda itu diseret perlahan-lahan. Sudah banyak yang berubah. Insan berkot hitam dan berkemeja itu seolah-olah rusa masuk kampung. Tercengang dengan keadaan sekitar – sudah ada tiang elektrik di mana-mana dan jalan-jalan raya sudah berturap sepenuhnya. Tiada lagi lopak-lopak air tempat dia dan Tura menangkap berudu. Sungguhpun jauh di sudut hatinya, timbul perasaan rindu melihat itu semua, dia mengukir satu senyuman. Hai masyarakatku! Lihatlah. Lihatlah diriku. Anak Iban kebanggaanmu sudah kembali! Bilu sudah kembali! Kembali bukan sebagai Bilu yang dulu. Tetapi Bilu yang baru. Bilu yang kini punya segenggam ijazah. Bilu yang kini berpakaian kemas persis pegawai daerah yang bekerja di kota. Bilu yang telah menunaikan janjinya pada baba. Pada mama. Dan yang paling penting, pada Cikgu Mona! Selama Bilu menyambung pelajaran di ibu negara, Cikgu Monalah yang banyak membantu membiayai keperluannya. Membantu perbelanjaannya. Sentiasa berdiri di sampingnya saat susah mahupun senang. Tidak pernah kenal erti jemu mendidik Bilu. Tidak pernah luntur semangatnya mendorong Bilu. Tidak pernah letih mengutuskan kata sayang. Sungguh, Bilu sayang akan Cikgu Mona. Terima kasih cikgu! Cikgulah lilin yang sudi membakar dirinya demi menerangi Bilu dengan cahaya ilmu. Pengorbanan dan penat lelah cikgu takkan mampu terbalas walaupun dengan segunung permata. Terima kasih cikgu!

Johan pertandingan cerpen kana-kanak sempena Hari Guru 2012 (peringkat kebangsaan), tahniah diucapkan

Sumber Jemariungu.blogspot

[ESEI] Hospital Impianku

HOSPITAL IMPIANKU - Hasil Karya Nur Adibah Liyana bt Awi

Gambar hiasan, ihsan daripada google
        Setiap manusia yang masih memiliki nyawa yang sangat berharga dan tidak akan pernah diganti, pastinya menginginkan apa-apa yang dihajati. Antaranya dengan berkeinginan untuk memiliki hospital impian masing-masing atau dalam erti kata lain ialah rumah sakit idaman. Hal ini adalah normal apabila terjadi kepada seseorang manusia yang mahukan sesuatu yang sempurna dalam kehidupan.Benarlah kata orang bijak bestari, hidup di dunia yang fana ini hanyalah sekali, jadi, perkenankanlah segala yang dihajati. Pada masa yang sama, fitrah manusia juga menjadi sesuatu yang amat penting. Pasti ada sesetengah pihak yang masih kurang memahaminya, bagaimanakah pula fitrah dikatakan mempunyai ikatan dengan keinginan seseorang untuk mendapatkan sesuatu benda?Jika kita perhatikan dan hayati sedalam-dalamnya, definisi fitrah ialah sesuatu yang semulajadi yang wujud dalam diri seseorang manusia untuk kepentingan diri mereka sendiri.Jadi, sudah terbukti bahawa fitrah manusia ialah menginginkan sesuatu yang sempurna dalam hidup dan ingin menikmati apa-apa yang dihajati, termasuklah untuk memiliki hospital impian.
            Pertamanya, antara kriteria hospital yang saya idam-idamkan ialah ingin memiliki hospital yang bersih dan bebas daripada pelbagai jenis kekotoran. Memang tidak dapat  disangkal lagi, sesuatu perkara yang bersih pastinya sering menjadi kegilaan ramai. Hal sedemikian juga turut menjadi rebutan ramai. Sebagai analogi, kehadiran seekor lalat akan memberi tanggapan yang negatif kepada orang ramai malahan mereka dengan yakinnya menyangka bahawa tempat tersebut terdedah kepada kekotoran dan najis. Impaknya, mereka akan berusaha untuk lari daripada dihinggap oleh lalat tersebut. Izharnya, kebersihan menjadi tunggak utama untuk memenuhi kepuasan manusia.Benarlah hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang menyatakan, kebersihan itu separuh daripada iman.Bagi mencapai tahap kebersihan dan keceriaan yang diingini, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang penting. Hal ini kerana janganlah kita hanya menaruh harapan yang tinggi kepada sesetengah pihak sahaja, dengan harapan agar mendapat apa yang diingini dengan sekelip mata, tanpa sebarang usaha yang gigih. Rukhsahnya, saya sangat memerlukan hospital yang bersih agar terhindar daripada penyakit berbahaya.
            Selain itu, penyediaan wad yang selesa antara hospital idaman yang saya impi-impikan. Wad yang selesa akan memberi nafas baru kepada pesakit untuk meneruskan hidup. Tambahan lagi, turut membantu pesakit-pesakit dalam proses penyembuhan mereka. Mengapa saya berkata sedemikian? Sudah tentu, dengan wad yang selesa dan persekitaran yang aman akan memberi impak positif, iaitu memberi ketenangan jiwa dan rohani kepada pesakit. Sebagai contoh, dari sudut kemudahan tandas yang bersih dan selesa serta penginapan yang sesuai, khususnya kepada penjaga-penjaga yang perlu menginap di hospital untuk menjaga pesakit.Saya juga menginginkan hospital yang dapat memberi tempat istirahat yang selesa kepada penjaga-penjaga.Selaras dengan itu, wad dan penginapan yang selesa tidak memberi kesusahan kepada pengguna.Secara psikologinya, manusia memerlukan sesuatu yang selesa dan aman.Oleh sebab itu, lakukanlah perubahan agar dapat memberi manfaat dan imbuhan kepada masyarakat. Dalam marcapada yang penuh pancaroba, kita akan sentiasa berada dalam kepompong kesusahan dan ketidakselesaan sekiranya kita tidak pernah mencuba untuk melakukan perubahan yang memberi manfaat kepada kita.
 Ayuh, kita lakukan perubahan! Jangan biarkan nasi menjadi bubur, kelak akan memberi penyesalan yang tidak akan pernah berkesudahan.
            Sejajar dengan itu, saya juga mengimpikan agar dalam setiap hospital terdapat kemudahan untuk memperoleh makanan.Walaubagaimanapun, harga untuk pembelian makanan hendaklah berpatutan dan murah.Hal ini demikian kerana untuk memberi kemudahan kepada pelbagai lapisan masyarakat.Sememangnya diakui, kebanyakan hospital kurang mengambil berat soal keperluan masyarakat untuk memperoleh makanan.Secara amnya, kebanyakan hospital hanya menyediakan kemudahan untuk membeli makanan kepada kakitangan hospital sahaja.Para keluarga yang menjaga pesakit perlu keluar daripada kawasan hospital untuk membeli makanan. Oleh sebab itu, saya sangat mahukan hospital yang memberi kemudahan untuk membeli makanan kepada penjaga yang menjaga pesakit dan terpaksa bermalam di sana. Dalam nada yang serupa, dengan menyediakan restoran atau tempat makan yang pelbagai dan sesuai akan memberi peluang kepada penjaga-penjaga untuk memilih jenis makanan yang digemari. Tambahan lagi, sebagai salah satu cara untuk mengatasi kelaparan sekaligus dapat menjaga saudara mara yang terlantar dalam hospital dengan sebaik-baiknya. Mungkin terdapat sesetengah pihak yang menganggap remeh tentang perkara sebegini.Walaubagaimanapun, saya sangat memerlukan kemudahan restoran yang pelbagai dalam kawasan hospital dan restoran tersebut hendaklah ditubuhkan bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada masyarakat.
            Seterusnya, saya menginginkan kakitangan hospital seperti para doktor dan jururawat yang peramah.Bak kata orang, biarlah mesra pelanggan agar disukai oleh orang ramai. Sifat-sifat positif yang dipamerkan akan menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat. Umpamanya, dengan memperlihatkan wajah yang ceria dan mesra.Selain itu, para kakitangan hospital mestilah pandai menguruskan hal peribadi dan soal kerjaya.Mereka hendaklah bijak dalam mengatur dan mengendalikan kedua-dua bidang tersebut.Sememangnya setiap manusia mempunyai masalah, bahkan sesiapa yang tidak mempunyai masalah sepanjang hidupnya boleh dikatakan sebagai tidak normal.Kesinambungannya, para kakitangan hospital yang menjalankan tugas hendaklah tidak menjadikan orang lain sebagai mangsa kepada masalah yang dihadapi. Selaras dengan itu, saya sangat menginginkan para kakitangan hospital yang tidak pernah lekang dengan senyuman.Senyuman yang ikhlas merupakan satu sedekah. Benarlah kata-kata ini, kurangkan manis dalam minuman dan lebihkan manis dalam senyuman.
            Di samping itu, saya menginginkan infrastruktur hospital yang baik dan menarik.Sebagai contoh, dengan binaan bangunan yang menarik serta tempat penubuhan hospital yang strategik.Setiap binaan hospital hendaklah sesuai dan dikatogerikan kepada pesakit mengikut penyakit yang dihadapi. Hal ini akan memberi kemudahan kepada para doktor untuk menjalankan tugas dan kajian mereka. Sayogianya, setiap blok haruslah mempunyai beberapa orang pengawal keselamatan bagi mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku.
Sejajar dengan itu, saya mengidamkan sebuah  hospital yang mempunyai perkhidmatan perubatan yang terbaik. Apakah yang dimaksudkan dengan perkhidmatan perubatan yang terbaik?Antaranya, termasuklah ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit dan mempunyai bilangan doktor pakar yang mencukupi.Sesetengah hospital mempunyai bilangan doktor pakar yang terhad sehinggakan para pesakit terpaksa menunggu untuk dirawat oleh doktor.Bak kata peribahasa, menunggu bagaikan pungguk rindukan bulan. Hal ini sudah tentunya akan memberikan kesan negatif kepada pesakit sekiranya lambat memperoleh rawatan. Saya begitu menaruh harapan yang tinggi setinggi Gunung Everest kepada para pentadbir hospital agar sentiasa memastikan bilangan doktor pakar yang mencukupi demi kesejahteraan masyarakat.Oleh sebab itu, memiliki hospital yang mempunyai perkhidmatan perubatan yang terbaik antara salah satu kriteria hospital impian saya.Sebagai contoh, kata peribahasa yang berbunyi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sungguhpun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak pentadbir hospital mestilah sentiasa mengambil berat tentang bilangan doktor pakar dalam sesebuah hospital agar tidak memberi gangguan kepada para pesakit untuk memperoleh rawatan dengan kadar yang segera.
            Dalam memperkatakan hal ini, saya juga ingin sekali mengimpikan hospital yang mempunyai ruang menunggu pesakit yang sesuai dan selesa.Hal ini kerana ruang menunggu pesakit di hadapan hospital hendaklah sistematik dan mudah untuk mengambil pesakit yang beransur pulih untuk dibawa pulang ke rumah oleh keluarga masing-masing.Tambahan lagi, pihak hospital mestilah menyediakan tempat duduk yang mencukupi dan elok untuk digunakan. Ironinya, jika kita lihat, kebanyakan tempat duduk yang disediakan telah rosak dan akhirnya akan mengundang bahaya kepada para pengguna. Oleh sebab itu, bagi memastikan keselesaan kepada masyarakat terutamanya kepada para pesakit.Saya begitu terharu sekiranya ada seorang atau lebih yang boleh memimpin pesakit hingga ke pintu hadapan hospital.Hal ini menunjukkan betapa besarnya penghargaan dan perkhidmatan yang dicurahkan oleh pihak hospital kepada pesakit.
            Justifikasinya, saya yakin dengan sepenuh jiwa dan raga bahawa segala yang dihajati akan tercapai. Oleh yang demikian, peranan daripada pelbagai pihak amatlah penting bagi memastikan kelancaran sesuatu perkara yang dirancang. Walaupun pada hakikatnya, kita hanya mampu merancang,namun kita juga hendaklah sentiasa membekalkan usaha yang gigih untuk memperolehnya. Dalam nada yang sama, azam yang kuat lagi utuh menjadi pencetus utama untuk mencapai sesuatu yang diinginkan. Saya sangat berharap agar semua pihak berganding bahu dan membanting tulang dalam merealisasikan misi yang dirancang.Rukhsahnya, saya juga berharap saya dapat memperoleh hospital impian saya, bukan sahaja untuk memenuhi kepuasan kepada diri saya, malahan untuk kebaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Memenangi tempat kedua dalam pertandingan menulis esei peringkat negeri sempena Hari Hospital Terbuka...tahniah diucapkan

Hari Sukan 2012


Assalamualaikum w.b.t.dan salam sejahtera.Pada 17 Jun sehingga 19 Jun 2012 baru-baru ini pihak pengurusan sekolah telah mengadakan Sukan Tahunan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Tok Jiring.Sukan tersebut bermula pada 17 Jun(Ahad) dengan dan dimulai denagn acara sukan tara bagi pelajar perempuan pada waktu pagi sementara pelajar lelaki diarahkan ke surau An-Naim untuk mendengar ceramah.

    Antara acara yang dijalankan ialah lumba lari,lontar peluru dan lompat jauh.Setiap rumah sukan telah ditentukan tempat dan masa bagi setiap acara.Bagi acara sukan tara,setiap pelajar menyumbang satu mata kepada rumah sukan mereka.Acara ini bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 11.00 pagi.Setelah selesai acara tersebut semua rumah sukan sibuk menghias khemah masing-masing untuk diaili ketika upacara perasmian yang diadakan pada waktu petangnya. Mari kita sama-sama melihat aktiviti- aktiviti sepanjang minggu ini di bawah ;

Persediaan Hari Sukan....


Kerjasama telah membuahkan hasil yang cantik
Perancangan yang rapi

Rumah-rumah sukan...

Rumah merah bak istana yang mempunyai tembok yang kukuh

Rumah kuning kelihatan seperti kek yang enak

Rumah hijau - memberikan pemandangan yang menenangkan

Rumah biru - Seperti ikan lumba-lumba menyambut kedatangan tetamunya ke lautan biru

Para pelajar yang setia dengan rumah masing-masing =D
Perbarisan...
Diketuai oleh Ketua Umum kita...

Pahlawan-pahlawan rumah kuning terlebih dahulu memasuki medan

Nampaknya, pengerusi rumah kuning puteri bak seorang permaisuri ya.

Diceriakan lagi dengan maskot rama-rama

Ahli-ahli rumah kuning yang penuh keriangan

Seterusnya, tiba saat rumah biru pula memasuki medan dengan panjinya yang dikibar...

Maskot Smurf menambahkan keceriaan rumah biru

Kesungguhan mereka....memeriahkan lagi suasana

Nampaknya, angry bird juga turut datang, membuatkan rumah merah semakin gah

Kecomelan maskot Strawberi sudah cukup menarik perhatian semua hadirin

Datangnya pula, ahli-ahli rumah hijau dengan panjinya yang berkibaran bersama dengan maskot Adudu

Masing-masing bersemnagat dalam perbarisan ini...
Acara Sukantara Larian 100 meter Puteri...

Maju kehadapan, puteri-puteri SMKATJ!

Beberapa langkah lagi, kamu akan berjaya ke garisan penamat...!

Acara Sukantara Lontar Peluru Puteri...
Kekuatan dalaman kita boleh kita laraskan dengan kekuatan fizikal luaran kita ini...
Setiap orang mempunyai potensi...=)

Acara Balapan Lelaki...

Masing-masing nampaknya berdebar untuk menerima baton daripada pasukan atau rumah masing-masing

Kronologi...baton-baton diberikan kepada pasukan masing-masing

Nampaknya mereka semua mempunyai keazaman untuk berjaya...syabas!


Mendengar taklimat






Acara penyampaian hadiah...(maaf, sudut gambar diambil tidak menarik =D)



Tahniah kepada para pemenang.


Rumah manakah yang mendominasi keseluruhan markah...????
Sudah tentu rumah yang memperolehi no 1 itu ialah.......
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-


Alhamdulillah, dengan ini berakhirlah sudah minggu sukan tahunan SMKATJ 2012. Semoga para pelajar akan terus berusaha untuk acara pada tahun depan. Tingkatkan prestasi anda kerana setiap daripada anda mempunyai potensi untuk berjaya dalam apa jua bidang.

Sekian shaja pada kali ini....wassalam


Epilog....

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates