HOSPITAL IMPIANKU - Hasil Karya Nur Adibah Liyana bt Awi
Gambar hiasan, ihsan daripada google |
Setiap manusia yang masih memiliki nyawa yang sangat
berharga dan tidak akan pernah diganti, pastinya menginginkan apa-apa yang
dihajati. Antaranya dengan berkeinginan untuk memiliki hospital impian
masing-masing atau dalam erti kata lain ialah rumah sakit idaman. Hal ini
adalah normal apabila terjadi kepada seseorang manusia yang mahukan sesuatu
yang sempurna dalam kehidupan.Benarlah kata orang bijak bestari, hidup di dunia
yang fana ini hanyalah sekali, jadi, perkenankanlah segala yang dihajati. Pada
masa yang sama, fitrah manusia juga menjadi sesuatu yang amat penting. Pasti
ada sesetengah pihak yang masih kurang memahaminya, bagaimanakah pula fitrah
dikatakan mempunyai ikatan dengan keinginan seseorang untuk mendapatkan sesuatu
benda?Jika kita perhatikan dan hayati sedalam-dalamnya, definisi fitrah ialah
sesuatu yang semulajadi yang wujud dalam diri seseorang manusia untuk
kepentingan diri mereka sendiri.Jadi, sudah terbukti bahawa fitrah manusia
ialah menginginkan sesuatu yang sempurna dalam hidup dan ingin menikmati
apa-apa yang dihajati, termasuklah untuk memiliki hospital impian.
Pertamanya, antara kriteria hospital yang saya
idam-idamkan ialah ingin memiliki hospital yang bersih dan bebas daripada
pelbagai jenis kekotoran. Memang tidak dapat
disangkal lagi, sesuatu perkara yang bersih pastinya sering menjadi
kegilaan ramai. Hal sedemikian juga turut menjadi rebutan ramai. Sebagai
analogi, kehadiran seekor lalat akan memberi tanggapan yang negatif kepada
orang ramai malahan mereka dengan yakinnya menyangka bahawa tempat tersebut
terdedah kepada kekotoran dan najis. Impaknya, mereka akan berusaha untuk lari
daripada dihinggap oleh lalat tersebut. Izharnya, kebersihan menjadi tunggak
utama untuk memenuhi kepuasan manusia.Benarlah hadis Nabi
Muhammad S.A.W. yang menyatakan, kebersihan itu separuh daripada iman.Bagi
mencapai tahap kebersihan dan keceriaan yang diingini, semua pihak hendaklah
memainkan peranan yang penting. Hal ini kerana janganlah kita hanya menaruh
harapan yang tinggi kepada sesetengah pihak sahaja, dengan harapan agar
mendapat apa yang diingini dengan sekelip mata, tanpa sebarang usaha yang gigih.
Rukhsahnya, saya sangat memerlukan hospital yang bersih agar terhindar daripada
penyakit berbahaya.
Selain itu, penyediaan wad yang selesa antara hospital
idaman yang saya impi-impikan. Wad yang selesa akan memberi nafas baru kepada
pesakit untuk meneruskan hidup. Tambahan lagi, turut membantu pesakit-pesakit
dalam proses penyembuhan mereka. Mengapa saya berkata sedemikian? Sudah tentu,
dengan wad yang selesa dan persekitaran yang aman akan memberi impak positif,
iaitu memberi ketenangan jiwa dan rohani kepada pesakit. Sebagai contoh, dari
sudut kemudahan tandas yang bersih dan selesa serta penginapan yang sesuai,
khususnya kepada penjaga-penjaga yang perlu menginap di hospital untuk menjaga
pesakit.Saya juga menginginkan hospital yang dapat memberi tempat istirahat
yang selesa kepada penjaga-penjaga.Selaras dengan itu, wad dan penginapan yang
selesa tidak memberi kesusahan kepada pengguna.Secara psikologinya, manusia
memerlukan sesuatu yang selesa dan aman.Oleh sebab itu, lakukanlah perubahan
agar dapat memberi manfaat dan imbuhan kepada masyarakat. Dalam marcapada yang
penuh pancaroba, kita akan sentiasa berada dalam kepompong kesusahan dan
ketidakselesaan sekiranya kita tidak pernah mencuba untuk melakukan perubahan
yang memberi manfaat kepada kita.
Ayuh, kita lakukan perubahan! Jangan biarkan
nasi menjadi bubur, kelak akan memberi penyesalan yang tidak akan pernah
berkesudahan.
Sejajar dengan itu, saya juga mengimpikan agar dalam
setiap hospital terdapat kemudahan untuk memperoleh makanan.Walaubagaimanapun,
harga untuk pembelian makanan hendaklah berpatutan dan murah.Hal ini demikian
kerana untuk memberi kemudahan kepada pelbagai lapisan masyarakat.Sememangnya
diakui, kebanyakan hospital kurang mengambil berat soal keperluan masyarakat
untuk memperoleh makanan.Secara amnya, kebanyakan hospital hanya menyediakan
kemudahan untuk membeli makanan kepada kakitangan hospital sahaja.Para keluarga
yang menjaga pesakit perlu keluar daripada kawasan hospital untuk membeli
makanan. Oleh sebab itu, saya sangat mahukan hospital yang memberi kemudahan
untuk membeli makanan kepada penjaga yang menjaga pesakit dan terpaksa bermalam
di sana. Dalam nada yang serupa, dengan menyediakan restoran atau tempat makan yang
pelbagai dan sesuai akan memberi peluang kepada penjaga-penjaga untuk memilih
jenis makanan yang digemari. Tambahan lagi, sebagai salah satu cara untuk
mengatasi kelaparan sekaligus dapat menjaga saudara mara yang terlantar dalam
hospital dengan sebaik-baiknya. Mungkin terdapat sesetengah pihak yang
menganggap remeh tentang perkara sebegini.Walaubagaimanapun, saya sangat
memerlukan kemudahan restoran yang pelbagai dalam kawasan hospital dan restoran
tersebut hendaklah ditubuhkan bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada
masyarakat.
Seterusnya, saya menginginkan kakitangan hospital seperti
para doktor dan jururawat yang peramah.Bak kata orang, biarlah mesra pelanggan
agar disukai oleh orang ramai. Sifat-sifat positif yang dipamerkan akan menjadi
contoh dan teladan kepada masyarakat. Umpamanya, dengan memperlihatkan wajah
yang ceria dan mesra.Selain itu, para kakitangan hospital mestilah pandai
menguruskan hal peribadi dan soal kerjaya.Mereka hendaklah bijak dalam mengatur
dan mengendalikan kedua-dua bidang tersebut.Sememangnya setiap manusia
mempunyai masalah, bahkan sesiapa yang tidak mempunyai masalah sepanjang
hidupnya boleh dikatakan sebagai tidak normal.Kesinambungannya, para kakitangan
hospital yang menjalankan tugas hendaklah tidak menjadikan orang lain sebagai
mangsa kepada masalah yang dihadapi. Selaras dengan itu, saya sangat
menginginkan para kakitangan hospital yang tidak pernah lekang dengan
senyuman.Senyuman yang ikhlas merupakan satu sedekah. Benarlah kata-kata ini,
kurangkan manis dalam minuman dan lebihkan manis dalam senyuman.
Di samping itu, saya menginginkan infrastruktur hospital
yang baik dan menarik.Sebagai contoh, dengan binaan bangunan yang menarik serta
tempat penubuhan hospital yang strategik.Setiap binaan hospital hendaklah
sesuai dan dikatogerikan kepada pesakit mengikut penyakit yang dihadapi. Hal
ini akan memberi kemudahan kepada para doktor untuk menjalankan tugas dan
kajian mereka. Sayogianya, setiap blok haruslah mempunyai beberapa orang pengawal
keselamatan bagi mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku.
Sejajar
dengan itu, saya mengidamkan sebuah
hospital yang mempunyai perkhidmatan perubatan yang terbaik. Apakah yang
dimaksudkan dengan perkhidmatan perubatan yang terbaik?Antaranya, termasuklah
ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit dan mempunyai bilangan doktor pakar
yang mencukupi.Sesetengah hospital mempunyai bilangan doktor pakar yang terhad
sehinggakan para pesakit terpaksa menunggu untuk dirawat oleh doktor.Bak kata
peribahasa, menunggu bagaikan pungguk rindukan bulan. Hal ini sudah tentunya
akan memberikan kesan negatif kepada pesakit sekiranya lambat memperoleh
rawatan. Saya begitu menaruh harapan yang tinggi setinggi Gunung Everest kepada
para pentadbir hospital agar sentiasa memastikan bilangan doktor pakar yang
mencukupi demi kesejahteraan masyarakat.Oleh sebab itu, memiliki hospital yang
mempunyai perkhidmatan perubatan yang terbaik antara salah satu kriteria
hospital impian saya.Sebagai contoh, kata peribahasa yang berbunyi sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sungguhpun begitu, sebagai langkah
berjaga-jaga, pihak pentadbir hospital mestilah sentiasa mengambil berat
tentang bilangan doktor pakar dalam sesebuah hospital agar tidak memberi gangguan
kepada para pesakit untuk memperoleh rawatan dengan kadar yang segera.
Dalam memperkatakan hal ini, saya juga ingin sekali
mengimpikan hospital yang mempunyai ruang menunggu pesakit yang sesuai dan
selesa.Hal ini kerana ruang menunggu pesakit di hadapan hospital hendaklah
sistematik dan mudah untuk mengambil pesakit yang beransur pulih untuk dibawa
pulang ke rumah oleh keluarga masing-masing.Tambahan lagi, pihak hospital
mestilah menyediakan tempat duduk yang mencukupi dan elok untuk digunakan.
Ironinya, jika kita lihat, kebanyakan tempat duduk yang disediakan telah rosak
dan akhirnya akan mengundang bahaya kepada para pengguna. Oleh sebab itu, bagi
memastikan keselesaan kepada masyarakat terutamanya kepada para pesakit.Saya
begitu terharu sekiranya ada seorang atau lebih yang boleh memimpin pesakit hingga
ke pintu hadapan hospital.Hal ini menunjukkan betapa besarnya penghargaan dan
perkhidmatan yang dicurahkan oleh pihak hospital kepada pesakit.
Justifikasinya, saya yakin dengan sepenuh jiwa dan raga
bahawa segala yang dihajati akan tercapai. Oleh yang demikian, peranan daripada
pelbagai pihak amatlah penting bagi memastikan kelancaran sesuatu perkara yang
dirancang. Walaupun pada hakikatnya, kita hanya mampu merancang,namun kita juga
hendaklah sentiasa membekalkan usaha yang gigih untuk memperolehnya. Dalam nada
yang sama, azam yang kuat lagi utuh menjadi pencetus utama untuk mencapai
sesuatu yang diinginkan. Saya sangat berharap agar semua pihak berganding bahu
dan membanting tulang dalam merealisasikan misi yang dirancang.Rukhsahnya, saya
juga berharap saya dapat memperoleh hospital impian saya, bukan sahaja untuk
memenuhi kepuasan kepada diri saya, malahan untuk kebaikan kepada pelbagai
lapisan masyarakat.