Aku Anak Ngelaban! hasil karya Nur Fasihah bt Ramli
Gambar hiasan ihsan daripada Google |
Termengah-mengah Tura cuba menyusuli Bilu dari belakang.
Bajunya basah dek peluh. Kaki yang tidak berkasut comot dengan selut. Manakan tidak, jalan merah yang mereka lalui berlopak-lopak akibat hujan lebat yang turun tanpa henti selama tiga hari.
“Bilu! Laju kau jalan! Tunggu!”
“Tura! Pukul brapa diatu?
Cikgu tunggu!”
“Iya…iya. Kita jalai sama-sama.”
Bilu. Anak Iban yang bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib kaumnya ke arah yang lebih baik. Dia sedar betapa masyarakat metropolitan memperkotak-katikkan kehadiran mereka. Apakan tidak? Hidup di pinggir pedalaman, terselindung daripada arus pembangunan moden. Namun, Bilu sedar. Dia harus menjadi perintis kepada keterbilangan keturunannya. Dia tekad. Dia akan buktikan, anak Iban tidak akan pernah hilang ditelan zaman. Ya. Orang Iban tidak akan pernah luput dek hujan, tidak akan pernah lekang dek panas. Ya. Aku akan buktikan! Wahai dunia, tunggu kehadiranku! Akan kugoncangkan pentas dunia dengan tanganku! Tura. Dia juga begitu. Betapa kembang hatinya menceritakan kehebatan moyangnya yang pernah suatu ketika menentang penjajah sehinggakan dapat memenggal kepala-kepala mereka lalu disimpan di dalam tajau. Tura sentiasa gah bercerita tentang perjuangan Ki Manang. Tidak pernah terdetik sedikit pun di hatinya perasaan malu menguar-uarkan keunggulan anak Iban. Dia tahu dia perlu berjuang. Sama seperti Ki Manang. Ki Manang berjuang demi keamanan tanah air tercinta. Tura? Tura harus berjuang demi maruah dan nama baik generasi Ibannya. Persepsi masyarakat kota soal kedunguan kaumnya harus ditepis. Tura berjanji. Tura berjanji suatu hari nanti, alam akan tunduk kagum kepadanya. Itu janji Tura!
Riuh rendah suara kanak-kanak berkejaran. Ada yang bermain guli. Ada juga yang bermain seremban dengan batu-batu kerikil yang dikutip di tepi sungai. Namun, sayup-sayup kedengaran suara dari dalam sebuah bangunan kayu buruk. Hanya atap nipah sebagai pelindung dari sinar sang suria yang memancar terik. Hanya tikar mengkuang hasil kraftangan ibu-ibu yang menjadi alas untuk belajar. Ah, lupakan semua itu! Tura. Juga Bilu.
“15 darab 2 sama dengan 30. 16 darab 2? Siapa nak cuba?”
“Aku, cikgu!”
“Ya, Bilu. Tuliskan jawapannya pada papan hitam.” Bilu bingkas bangun. Terkedek-kedek berjalan menuju ke hadapan. Sungguhpun, kaki kirinya tempang, Bilu tidak pernah menganggap itu satu halangan untuk berjaya. Cikgu Mona juga. Dengan yakin, dia menuliskan jawapan dengan kapur yang hanya sebesar jari kelingking itu. Mulutnya bergerak bagaikan seirama dengan tangannya yang pantas melakarkan angka-angka matematik.
“16 darab 2 sama dengan 32…”
“Wah! Pandainya Bilu…” Kembang hidung Bilu dipuji sedemikian rupa oleh Cikgu Mona. Sungguh, dia sayang akan Cikgu Mona. Tura juga. Semua orang sayang akan Cikgu Mona. Masih segar di kotak mindanya saat Cikgu Mona pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Walaupun memakan masa berjam-jam dan terpaksa meredah hutan dan menaiki bot, Cikgu Mona sabar orangnya. Sifat sabar itulah yang menjadi pegangan Bilu dalam mengejar impiannya. Masih terasa hangat sentuhan Cikgu Mona, mengusap-usap pipi montelnya ketika pertama kali mereka bertemu.
“Comelnya kamu…” Dia tersengih menampakkan barisan gigi yang sudah rongak di depan. Kata baba, sudah seperti kubu yang runtuh diserang musuh.
“Bilu! Kenapa rumah kau banyak orang?”
“Err…mama. Kenapa, ma?”
“Bilu! Babamu, Bilu!”
“Kenapa, ma??? Kasitau Bilu!”
“Baba…pukat ikan di sungai. Dibaham sang jenjulung…”
“Baba! Baba! Baba…” Seminggu Bilu berkurung di bilik. Enggan makan. Enggan ke sekolah. Hidupnya bagaikan hilang arah tuju setelah kehilangan baba. Sedangkan, kekuatan dirinya selama ini hanyalah baba. Dia berjuang di medan ilmu hanya untuk membanggakan baba. Hanya untuk baba! Tetapi, kenapa Tuhan harus mengambil baba? Kenapa? Bilu masih belum mampu membahagiakan baba. Belum! Tuhan, andainya kau berikan aku kesempatan…
“Bilu! Ayuh keluar, nak…Cikgu Mona mahu bertemu.”
“Aku tak mahu, ma…”
“Bilu…” Cikgu Mona memasuki ruang kamarnya yang sempit bagaikan reban ayam. Namun, di reban ayam itulah tempat dia membesar selama ini. Di reban ayam itulah, baba sering memberikan dorongan kepada dirinya untuk membawa keluarga keluar dari kepompong kegelapan. Dan, di reban ayam itulah kenangan bersama-sama baba akan terus bersemadi hingga ke hembusan nafas terakhir Bilu.
“Bilu…kamu perlu tabah. Kuatkan semangat. Cuba kamu fikir. Baba mahu kamu berjaya. Kalau baba lihat kamu bersedih, baba juga akan bersedih. Ayuh, bangkit! Cikgu di sini. Cikgu akan terus membimbing kamu dan sentiasa di belakang kamu. Mama, Tura, juga rakan-rakan yang lain. Ayuh, Bilu! Dunia menantimu di luar sana!”
Peperiksaan UPSR semakin hampir. Meskipun serba kekurangan, Bilu enggan beralasan. Tiada yang mampu menjadi penghalang lagi untuk aku berjaya. Walaupun Bilu terpaksa bersengkang mata mengulang kaji pelajaran, biarkan! Walaupun cuma pelita ayam menjadi peneman setia, pedulikan! Walaupun tiada lagi senyuman baba sebagai pembakar semangat, endahkan! Semua ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kejayaan yang bakal tiba. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Bilu rela bersakit-sakit asalkan kesenangan muncul di penghujung hari. Apatah lagi mama, Cikgu Mona dan Tura sentiasa meniupkan bicara bara untuk dia nyalakan hasilnya nanti. Cikgu Mona – insan mulia yang Bilu anggap sudah seperti malaikat utusan Tuhan untuk dirinya. Tanpa Cikgu Mona, dia tidak akan seteguh ini. Sekental ini. Tanpa Cikgu Mona, mana mungkin dia bisa berdiri di sini. Di sini. Di batu loncatan untuk masa hadapan yang lebih menyinar. Hanya tinggal satu loncatan lagi. Hanya satu!
Bagasi hitam beroda itu diseret perlahan-lahan. Sudah banyak yang berubah. Insan berkot hitam dan berkemeja itu seolah-olah rusa masuk kampung. Tercengang dengan keadaan sekitar – sudah ada tiang elektrik di mana-mana dan jalan-jalan raya sudah berturap sepenuhnya. Tiada lagi lopak-lopak air tempat dia dan Tura menangkap berudu. Sungguhpun jauh di sudut hatinya, timbul perasaan rindu melihat itu semua, dia mengukir satu senyuman. Hai masyarakatku! Lihatlah. Lihatlah diriku. Anak Iban kebanggaanmu sudah kembali! Bilu sudah kembali! Kembali bukan sebagai Bilu yang dulu. Tetapi Bilu yang baru. Bilu yang kini punya segenggam ijazah. Bilu yang kini berpakaian kemas persis pegawai daerah yang bekerja di kota. Bilu yang telah menunaikan janjinya pada baba. Pada mama. Dan yang paling penting, pada Cikgu Mona! Selama Bilu menyambung pelajaran di ibu negara, Cikgu Monalah yang banyak membantu membiayai keperluannya. Membantu perbelanjaannya. Sentiasa berdiri di sampingnya saat susah mahupun senang. Tidak pernah kenal erti jemu mendidik Bilu. Tidak pernah luntur semangatnya mendorong Bilu. Tidak pernah letih mengutuskan kata sayang. Sungguh, Bilu sayang akan Cikgu Mona. Terima kasih cikgu! Cikgulah lilin yang sudi membakar dirinya demi menerangi Bilu dengan cahaya ilmu. Pengorbanan dan penat lelah cikgu takkan mampu terbalas walaupun dengan segunung permata. Terima kasih cikgu!